Alhamdulillah shukur kehadrat ilahi dengan keizinanNya PAS Kawasan Bukit Gantang telah melaksanakan amanah dari rakyat Bukit Gantang selama 2 hari iaitu 14 dan 15 Januari 2021.
Pasukan petugas kami telah ditempatkan di Maahad Tahfiz Al Amin di perkampungan Kg Berhala Gantang dan Kg Bintang di Temerloh Pahang.
Seramai 20 anggota petugas telah melaksanakan tugas dan kutipan derma sebanyak RM 23,000.00 berjaya dikutip bagi menampung tugasan seperti berikut :-
1. Mencuci rumah-rumah mangsa banjir.
2. Mencuci persekitaran masjid Al Hasan dan pondok serta Maahad Tahfiz Al Amin.
3. Mengadakan DAPUR RAKYAT untuk penduduk sekitar iaitu memasak dan mengagihkan makanan.
4. Menyampaikan sumbangan pack makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir
5. Menyampaikan sumbangan wang kepada tahfiz yang terkesan akibat musibah banjir iaitu Maahad Tahfiz Al Amin dan Maahad Tahfiz Al Al Quran Kerdau.
6. Menyewa jentera back hoe dan lori bagi mengangkut bebanan sampah yang banyak.
7. Membeli peralatan-peralatan mencuci banjir.
8. Menyampaikan sumbangan sejadah kepada Masjid Al Hassan.
9. Perbelanjaan pengangkutan dan makan minum para petugas.
10. Membeli batu kasaran bagi markaz PAS dan rumah mangsa banjir.
Terima kasih tidak terhingga kepada semua PETUGAS dan DERMAWAN yang telah menyampaikan sumbangan. Semoga Allah memberi ganjaran pahala sebanyak-banyaknya kepada kalian.
PAS KAWASAN BUKIT GANTANG
16 JANUARI 2021
Sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al Amin , Temerloh yang dilanda banjir sebanyak RM 6,000 diterima oleh Mudir Tahfiz Al Fadhil Ustaz Wahid disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.
Sumbangan dana bantuan banjir kepada Mudir Maahad Tahfiz Kerdau, Jerantut Pahang, Al Fadhil Ustaz Kamal Shaari sebanyak RM 5,000 disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.
Banjir Pahang : Sukarelawan PAS Bukit Gantang salur tenaga, wang tunai
Jaudin M Amin - 19 Januari 2021
BUKIT GANTANG : Misi Bantuan Banjir Negeri Pahang anjuran PAS Kawasan Bukit Gantang pada 14 Januari lalu telah mencapai objektif sebagaimana yang telah dirancang.
Selain menyalurkan sumbangan wang tunai, sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia turut melakukan kerja-kerja pasca banjir seperti membasuh rumah, membersih sampah dan sebagainya.
Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, "PAS Kawasan telah melancarkan kutipan derma kilat minggu lalu dan alhamdulillah, kita berjaya mengumpulkan RM23,000 daripada ahli-ahli PAS yang mana ia dimanfaatkan untuk menjayakan misi kemanusiaan ini.
"Sasaran kerja kami berpusat di Maahad Tahfiz Al-Amin, Kampung Berhala Gantang, Temerloh dan kawasan sekitarnya termasuk Masjid Al-Hasan, rumah wakaf Maahad dan rumah penduduk di sekitarnya.
"Seramai 20 sukarelawan termasuk daripada Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia menjayakan pelbagai tugasan seperti membersih kesan-kesan banjir, menyampaikan hamper makanan, dapur rakyat, sumbangan batu kasaran untuk Markas PAS Cawangan dan menyewa back hoe bagi memudahkan tugasan membersih sampah-sarap.
"Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh pihak Maahad Tahfiz Al-Amin dan mangsa-mangsa banjir di Kampung Berhala Gantang dan diharap mereka tabah menghadapinya", katanya.
Misi yang berlangsung selama dua hari itu diakhiri dengan penyampaian sumbangan sebanyak RM6,000 kepada pihak Maahad Tahfiz Al-Amin. Turut menerima sumbangan adalah Masjid Al-Hasan dan Maahad Tahfiz Al-Quran Kerdau sebanyak RM5,000.