Isnin, 21 Jun 2021

BERITA-BERITA TERKINI MENGENAI PALESTIN


SELASA, 22 JUN 2021 : Lagi keluarga di Sheikh Jarrah kena halau

 

Baitulmaqdis: Penindasan Israel terhadap masyarakat Palestin masih belum berhenti dengan kelmarin, ada lagi keluarga di Sheikh Jarrah menjadi sasaran pengusiran. Agensi Anadolu melaporkan, saksi mendakwa keluarga berkenaan yang menetap di wilayah timur diduduki Israel itu diserang dengan belantan dan dilarang daripada memasuki kediaman mereka.

 

Penguat kuasa itu juga didakwa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan wartawan dan penduduk Palestin lain yang berada di kawasan itu bagi menyokong keluarga yang diancam pengusiran. Sementara itu, pasukan keselamatan Israel pula menyerbu sebuah rumah di kejiranan sama dan menyerang penduduknya.

 

ISNIN, 21 JUN 2021 : Penduduk Palestin di Sheikh Jarrah diserang lagi

 

Baitulmaqdis: Polis Israel menyerang keluarga Palestin di kawasan Sheikh Jarrah, wilayah timur yang diduduki pada Ahad, lapor Agensi Anadolu. Menurut saksi, penguat kuasa itu dilapor melarang penduduk daripada memasuki kediaman menggunakan belantan.

 

Mereka juga didakwa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan wartawan dan penduduk Palestin yang berada di kawasan itu bagi menyokong keluarga yang diancam pengusiran. Sementara itu, pasukan keselamatan Israel turut didakwa menyerbu sebuah rumah di kejiranan sama dan menyerang penduduknya.

 

ISNIN, 21 JUN 2021 : Pengaruh Zionis terhadap pertubuhan antarabangsa

 

SAYA tidak hairan apabila Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Manuel de Oliveira Guterres sering kali berpihak kepada negara haram Israel. Termasuklah isu terkini yang diketahui umum, kezaliman yang dilakukan terhadap kanak-kanak Palestin.

 

Jika diteliti secara terperinci, terdapat banyak penemuan yang menunjukkan bahawa setiap cabang pertubuhan antarabangsa dalam segala lapangan telah dipengaruhi oleh Zionis. Khususnya, Majlis Keselamatan PBB ditetapkan keahliannya yang terdiri daripada negara-negara besar yang mempunyai kuasa veto, kuasa yang mampu membatalkan apa sahaja kesalahan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh negara haram Israel.

 

Sehinggalah Zionis berada dalam pertubuhan ekonomi seperti Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF), serta dalam pertubuhan pendidikan dan kebudayaan seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), bahkan mereka juga menguasai media yang sangat mempengaruhi pemikiran orang ramai. - Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang

 

ISNIN, 21 JUN 2021 : Majoriti orang Arab masih simpati dengan Palestin

 

Kenapa saya selalu sebut #janganharappadaArab bermakna jangan harap pada pemimpin mereka tetapi rakyat masih menyokong Palestin dan dengan kuat. Sepotong artikel yang menarik untuk dibaca, diterbitkan di Al-Jazeera :

 

“Masyarakat Arab berkali-kali menunjukkan mereka komited terhadap perjuangan Palestin. Dalam Indeks Pendapat Arab terakhir 2019-2020, yang dilakukan di 13 negara Arab yang mewakili sekitar 300 juta orang, 88 peratus responden menolak idea untuk menormalkan hubungan dengan Israel. 79 peratus mengatakan bahawa Palestin tetap menjadi perhatian utama bagi semua orang Arab. Di Sudan, 79 peratus responden mengatakan mereka menentang mengadakan hubungan dengan Israel sebelum hak Palestin dijamin”. (Nadir An-Nuri)

 

AHAD, 20 JUN 2021 : Israel mahu jalin hubungan dengan Malaysia, Indonesia dan Brunei

 

Tel Aviv: Israel bersedia menjalin hubungan dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara yang penduduk majoritinya beragama Islam iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei, lapor The Jerusalem Post. Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni dalam temu bual dengan akhbar berkenaan, usaha itu membolehkan rejim Yahudi 'memperbetulkan banyak salah faham berhubung konflik Israel-Palestin'.

 

Malaysia, Indonesia dan Brunei sebelum ini mengecam serangan rejim zionis selama 11 hari di Semenanjung Gaza, bulan lalu. Ketiga-tiga negara turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan bagi menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin.

 

Selama ini, Malaysia, Indonesia dan Brunei tidak mempunyai apa-apa pertalian rasmi dengan Israel. Bagaimanapun, Israel mempunyai kedutaan di negara lain di Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand, Myanmar dan Filipina.

 

Empat negara Arab iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi sebelum ini bersetuju menandatangani perjanjian bagi memulihkan hubungan dengan Israel, atas tajaan Amerika Syarikat.

 

SABTU, 19 JUN 2021 : Polis Israel tahan 10 penduduk Palestin

 

Baitulmaqdis: Polis Israel menahan 10 penduduk Palestin dalam pertempuran di masjid Al-Aqsa di sini, semalam. Dalam insiden itu, penunjuk perasaan warga Palestin melontarkan batu dan tentera Israel melepaskan tembakan peluru getah yang menyebabkan sembilan individu cedera. Tiga daripadanya menerima rawatan di hospital.

 

Dalam pada itu, Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan sembilan individu cedera termasuk tiga yang dirawat di hospital. Kecederaan itu akibat dipukul dan terkena peluru getah.

 

Ketegangan berlaku selepas polis Israel memukul dan menahan penduduk Palestin pada Selasa selepas menutup Pintu Damsyik di sini. Tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada kepada penduduk Israel berkumpul dan memulakan perarakan nasionalis yang provokatif melalui Kota Lama Baitulmaqdis.

 

Perarakan digelar March of the Flags itu diadakan selepas ia dibatalkan sebelum ini kerana serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan ancaman pengusiran keluarga Palestin yang menyebabkan huru-hara di Baitulmaqdis.

 

JUMAAT, 18 JUN 2021 : Israel hantar sejuta dos vaksin hampir tamat tempoh ke Palestin

 

Jerusalem: Israel akan memberikan sekitar satu juta dos vaksin Covid-19 kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai pertukaran berikutan ia menghampiri tarikh tamat tempoh, kata Pejabat Perdana Menteri Israel hari ini.

 

"Israel telah menandatangani perjanjian dengan Pihak Berkuasa Palestin, dan akan menyediakan sekitar satu juta dos vaksin Pfizer yang akan tamat tempoh," kata Pejabat Perdana Menteri Naftali Bennett, dalam kenyataan bersama Kementerian Pertahanan dan Kesihatan.

 

Israel pula "akan menerima dos yang akan dikirimkan oleh Pfizer untuk Pihak Berkuasa Palestin," kata kenyataan itu. Pihak Berkuasa Palestin, yang berpusat di Tebing Barat, enggan mengulas mengenai perjanjian itu.

 

"Israel akan menerima jumlah dos Pfizer yang sama pada bulan September/Oktober 2021, yang sepatutnya dihantar untuk Palestin," tambah kenyataan Israel itu. "Perjanjian ini dilakukan selepas mengambil kira bahawa stok vaksin yang dimiliki Israel memenuhi keperluannya ketika ini."

 

Israel melancarkan kempen vaksinasi secara menyeluruh selepas memperoleh berjuta-juta dos vaksin Pfizer-BioNTech.

 

JUMAAT, 18 JUN 2021 : Jet perang Israel lancar serangan udara

 

Bandar Gaza: Pesawat perang Israel melancarkan beberapa serangan udara pada Khamis malam di kawasan milik kumpulan pejuang Palestin Hamas di Semenanjung Gaza. Menurut Agensi Anadolu, pesawat perang mengebom sebuah kawasan di bandar Beit Lahia dan satu lagi di Khan Yunis.

 

Kementerian Kesihatan Palestin tidak melaporkan mengenai kecederaan, manakala tentera Israel juga tidak mengeluarkan sebarang komen. Awal Khamis, Israel menyampaikan mesej kepada Hamas bahawa jika pelancaran belon api dari Semenanjung Gaza tidak dihentikan, tindakan ketenteraan baharu akan dilakukan.

 

Saluran 13News Israel melaporkan delegasi Israel yang kini berada di Mesir menghantar mesej itu melalui perkhidmatan perisikan Mesir. Delegasi dari Majlis Keselamatan Nasional Israel tiba di Kaherah pada Khamis, bagi mengadakan perbincangan mengenai gencatan senjata jangka panjang dengan Hamas di Gaza.

 

KHAMIS, 17 JUN 2021 : Lagi belon api diterbangkan dari Gaza

 

Baitulmaqdis: Israel mendakwa diserang lebih banyak 'belon api' selepas tentera mereka menyerang Gaza, semalam. AFP melaporkan, serangan udara rejim zionis itu yang pertama selepas Israel dan pejuang Hamas mengumumkan gencatan senjata pada 21 Mei lalu selepas pertempuran selama 11.

 

Ia juga adalah serangan pertama selepas Naftali Bennett mengambil alih pemerintahan Israel, baru-baru ini. Jurucakap bomba Israel berkata, pihaknya memadamkan empat kebakaran berpunca daripada belon api yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza yang memasuki hari kedua berturut-turut.

 

Ketegangan terbaru itu selepas rejim zionis membenarkan perarakan nasionalis di Kota Lama Baitulmaqdis, meskipun mendapat bantahan daripada pejuang Hamas. Susulan itu, belon api diterbangkan di wilayah dikuasai Israel.

 

KHAMIS, 17 JUN 2021 : 33 cedera bantah tindakan rejim Zionis

 

Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 33 penduduk Palestin cedera ketika membantah tindakan rejim Zionis Israel meneruskan perarakan March of the Flags di Kota Lama Baitulmaqdis. AFP melaporkan pasukan keselamatan Israel turut menahan 17 orang. Selain itu, dua anggota polis Israel turut cedera.

 

Dalam pada itu, Middle East Eye (MEE) melaporkan polis Israel memukul dan menahan penduduk Palestin pada Selasa selepas menutup Gerbang Damsyik di sini. Tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada kepada penduduk Israel berkumpul dan memulakan perarakan nasionalis yang provokatif melalui Kota Lama Baitulmaqdis.

 

Perarakan digelar March of the Flags itu diadakan selepas ia dibatalkan sebelum ini kerana serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan ancaman pengusiran keluarga Palestin yang menyebabkan huru-hara di Baitulmaqdis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan